Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Hospital Umum Sarawak
Anjung Kasih merupakan rumah penginapan sementara untuk golongan yang memerlukan khususnya ahli-ahli keluarga yang kurang berkemampuan tetapi perlu mengiringi pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital-hospital kerajaan dengan berkonsepkan selesa, selamat dan berkualiti.
POLISI ANJUNG KASIH HOSPITAL UMUM SARAWAK
A. KRITERIA KELAYAKAN MASUK PEMOHON (PENGIRING)
1. Pemohon yang tinggal jauh di luar kawasan Kuching (di luar lingkungan 25 kilometer) dan tidak mempunyai sebarang pengangkutan.
2. Pemohon yang menjaga pesakit yang tenat atau kritikal atau menjaga bayi pra-matang.
3. Pemohon yang tidak berkemampuan untuk menyewa mana-mana rumah tumpangan/penginapan/hotel di sekitar Bandaraya Kuching (sumber pendapatan di bawah RM500.00 )
4. Jumlah pemohon/penghuni yang dibenarkan adalah terhad kepada 2 ORANG DEWASA SAHAJA (18 Tahun) pada satu-satu masa.
5. Pemohon mestilah terdiri daripada WARGANEGARA MALAYSIA.
B. PROSEDUR KEMASUKAN HARI BEKERJA (ISNIN HINGGA JUMAAT)
1. Pemohon membuat permohonan melalui Pegawai Yang Merujuk (Pegawai Perubatan/Matron/Ketua Jururawat).
2. Pemohon hendaklah mengisi Borang Permohonan Anjung Kasih dengan lengkap yang boleh diperolehi di wad dan dapatkan pengesahan daripada Pegawai Yang Merujuk di wad berkenaan.
3. Borang Permohonan Anjung Kasih yang lengkap hendaklah diserahkan kepada Pengawai Jabatan Kerja Sosial Perubatan (JKSP) untuk tujuan tapisan dan perakuan. Pengawai JKSP akan menghubungi Penyelia Anjung Kasih bagi memastikan terdapat kekosongan bilik di Anjung Kasih.
4. Borang Permohonan Anjung Kasih hendaklah dikemukakan kepada Penyelia Anjung Kasih sewaktu pendaftaran masuk.
5. Penyelia Anjung Kasih akan menyerahkan Borang Pemeriksaan Bilik untuk tujuan pemeriksaan bilik sebelum Pemohon menduduki Anjung Kasih.
6. Penyelia Anjung Kasih akan menyerahkan Sarung tilam dan sarung bantal kepada pemohon semasa pendaftaran masuk.
7. Waktu Pendaftaran Masuk Anjung Kasih adalah pada bila-bila masa.
HARI TIDAK BEKERJA (SABTU & AHAD) DAN HARI KELEPASAN AM
1. Pemohon membuat permohonan melalui Pegawai Yang Merujuk (Pegawai Perubatan/Matron/Ketua Jururawat).
2. Pemohon hendaklah mengisi Borang Permohonan Anjung Kasih dengan lengkap yang boleh diperolehi di wad dan dapatkan pengesahan daripada Pegawai Perubatan/Matron/Ketua Jururawat di wad berkenaan.
3. Pegawai Yang Merujuk di wad berkenaan membuat tapisan dan perakuan. Pegawai Perubatan/Matron/Ketua Jururawat/Jururawat Terlatih akan menghubungi Penyelia Anjung Kasih bagi memastikan terdapat kekosongan bilik di Anjung Kasih.
4. Borang Permohonan Anjung Kasih hendaklah dikemukakan kepada Penyelia Anjung Kasih sewaktu pendaftaran masuk.
5. Penyelia Anjung Kasih akan menyerahkan Borang Pemeriksaan Bilik untuk tujuan pemeriksaan bilik sebelum Pemohon menduduki Anjung Kasih.
6. Penyelia Anjung Kasih akan menyerahkan Sarung tilam dan sarung bantal kepada pemohon semasa pendaftaran masuk.
7. Waktu Pendaftaran Masuk Anjung Kasih adalah pada bila-bila masa.
C. TEMPOH PENGINAPAN
1. Tempoh penginapan maksima selama tujuh (7) hari diberi kepada Penghuni pada satu-satu masa.
2. Perlanjutan tempoh penginapan tertakluk kepada kekosongan bilik dan alasan yang munasabah. (Perakuan Pegawai Perubatan/Matron/Ketua Jururawat).
3. Borang Perlanjutan Tempoh Penginapan boleh didapati daripada Penyelia Anjung Kasih.
D. PENDAFTARAN KELUAR ANJUNG KASIH
1. Penghuni hendaklah mendaftar keluar bilik tidak lewat dari tarikh yang telah diluluskan iaitu maksima
selama 7 hari melainkan Borang Perlanjutan Tempoh Penginapan telah disah oleh Pegawai
Perubatan/Matron/Ketua Jururawat dan diperaku oleh JKSP.
2. Bilik hendaklah diserahkan dalam keadaan bersih dan teratur seperti sewaktu mendaftar masuk.
3. Penghuni perlu menanggalkan sarung bantal dan sarung tilam untuk diserahkan kepada Penyelia
Anjung Kasih.
4. Sebelum penghuni meninggalkan bilik tersebut, pihak Penyelia Anjung Kasih akan memeriksa
perabot dan kelengkapan dalam bilik. Jika didapati berlaku kerosakan, kekotoran yang kekal atau
kehilangan, penghuni akan dikenakan denda atau ganti rugi mengikut kadar yang telah ditetapkan
seperti dalam Borang Pemeriksaan Bilik Anjung Kasih.
5. Semua kunci bilik hendaklah diserahkan sendiri oleh penghuni kepada Penyelia Anjung Kasih.
6. Waktu Pendaftaran Keluar Anjung Kasih boleh dibuat pada bila-bila masa.
E. PERATURAN-PERATURAN AM ANJUNG KASIH
1. Hanya pemohon yang berdaftar sahaja dibenarkan menginap di Anjung Kasih. Pihak Pengurusan Anjung Kasih berhak MENGHALANG mana-mana penghuni yang menduduki Anjung Kasih tanpa izin.
2. Penghuni dibenarkan menginap di bilik yang telah DITETAPKAN sahaja.
3. Penghuni tidak digalakkan membawa barangan berharga semasa menetap di Anjung Kasih. Pihak Pengurusan Anjung Kasih/ Hospital TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap sebarang kehilangan atau kecurian harta benda penghuni.
4. Penghuni hendaklah memastikan bilik sentiasa bersih, kemas dan teratur.
5. Penghuni tidak dibenarkan mengalih/mengubah kedudukan perabot dan kelengkapan bilik tanpa kebenaran Penyelia Anjung Kasih.
6. Penghuni hendaklah memastikan peralatan/kelengkapan dan perabot di dalam biliknya adalah lengkap dan sempurna dengan mengisi Borang Pemeriksaan Bilik pada hari pendaftaran masuk dan menduduki bilik. Jika didapati kurang, hendaklah melaporkannya dengan segera kepada Pejabat Penyelia Anjung Kasih.
7. Penghuni adalah bertanggungjawab memelihara harta benda Anjung Kasih yang telah disediakan. Bayaran denda atau gantirugi berdasarkan Borang Pemeriksaan Bilik Anjung Kasih HUS akan dikenakan jika terdapat kerosakan, kotor yang kekal atau kehilangan.
8. Penghuni hendaklah memastikan bilik sentiasa dikunci bagi maksud keselamatan.
9. Penghuni dilarang membawa makanan ke dalam bilik yang boleh menyebabkan kekotoran atau menimbulkan bau yang tidak menyenangkan. Dewan makan disediakan di aras bawah. Sila makan di tempat yang disediakan.
10. Semua penghuni adalah bertanggungjawab ke atas kebersihan bilik mandi dan tandas.
11. Penghuni hendaklah menyidai atau menyangkut pakaian di tempat yang telah disediakan.
F. PERKARA-PERKARA YANG DILARANG
1. Dilarang memasak atau menggunakan alat-alat elektrik (water heater, rice cooker, toaster/oven) dan sebagainya di dalam bilik.
2. Dilarang membawa atau membenarkan orang lain menumpang atau menginap di dalam bilik Anjung Kasih.
3. Dilarang meminta sedekah untuk apa-apa tujuan.
4. Dilarang membawa/menyalahguna apa-apa bentuk dadah terlarang.
5. Dilarang membawa/meminum apa-apa minuman alkohol atau yang memabukkan.
6. Dilarang berjudi di dalam dan luar kawasan Anjung Kasih/Hospital.
7. Dilarang merokok di dalam dan luar kawasan Anjung Kasih/Hospital.
8. Dilarang menyertai mana-mana demonstrasi, perarakan dan perhimpunan haram.
9. Dilarang menjalankan sebarang bentuk perniagaan atau menjaja di mana-mana juga tempat dalam kawasan Anjung Kasih/Hospital.
10. Dilarang meletakkan/menyimpan apa-apa jua benda di kaki lima, tangga, atau mana-mana tempat yang dikhaskan untuk Kemudahan Bersama dengan penghuni-penghuni lain di kawasan Anjung Kasih.
11. Dilarang menjemur sebarang jemuran atau pakaian selain di tempat yang telah disediakan.
12. Dilarang mengambil, mengguna atau membazir air dari mana-mana paip air yang dipasang untuk kemudahan bersama di kawasan Anjung Kasih.
13. Dilarang membawa masuk sebarang haiwan ternakan atau peliharaan ke kawasan Anjung Kasih.
14. Dilarang menampal sebarang poster, notis, pelekat, mengecat, memaku dinding Anjung Kasih.
15. Dilarang menambah atau membuat sebarang ubahsuaian kepada bentuk binaan Anjung Kasih.
16. Dilarang menebang, mencacatkan atau mengalih sebarang pokok atau tumbuhan yang ditanam oleh kerajaan di mana-mana juga tempat dalam kawasan Anjung Kasih.
17. Dilarang mengganggu ketenteraman (membuat bising,huru-hara) penghuni-penghuni lain di Anjung Kasih.
18. Dilarang membawa keluar sebarang Aset Kerajaan tanpa pengetahuan/kebenaran pihak pengurusan hospital.
19. Dilarang terlibat dalam melakukan kes-kes jenayah atau aktiviti yang melanggar mana-mana peruntukan Undang-Undang Malaysia.
20. Pihak Pengurusan Anjung Kasih/Hospital berhak untuk menghalang, mengeluarkan dan membatalkan penginapan penghuni yang didapati melanggar mana-mana Peraturan dan Larangan seperti yang dinyatakan di atas.
Sebarang pertanyaan mengenai Penginapan Anjung Kasih HUS sila hubungi no telefon Pejabat : 082-276848